Thursday 21 July 2011

Luqman al-Hakim dan Pendidikan Anak-Anak dalam Islam




Luqman al-Hakim figure hebat di dalam al-Quran

Antara figure yang hebat dalam al-Quran yang ditonjolkan oleh ALLAH dalam pendidikan anak-anak adalah Luqman al-Hakim, (semoga ALLAH merahmatinya). Hikmah yang dikurniakan oleh ALLAH swt kepada Luqman diiktiraf di dalam Surah Al-Luqman,ayat12:

وَلَقَدْ آتَيْنَا لُقْمَانَ الْحِكْمَةَ أَنِ اشْكُرْ لِلَّهِ وَمَنْ يَشْكُرْ فَإِنَّمَا يَشْكُرُ لِنَفْسِهِ وَمَنْ كَفَرَ فَإِنَّ اللَّهَ غَنِيٌّ حَمِيدٌ

"Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmatNya kepadamu) dan sesiapa yang bersyukur maka faedahnya itu hanyalah terpulang kepada dirinya sendiri dan sesiapa yang tidak bersyukur (maka tidaklah menjadi hal kepada ALLAH), kerana sesungguhnya ALLAH Maha Kaya, lagi Maha Terpuji."
 
Menurut sebahagian petikan daripada bekas Pengerusi Lujnah Fatwa Al-Azhar, Sheikh Atiyah Saqr mengenai siapakan Luqman al-Hakim:

"ALLAH telah mengurniakan satu surah yang dinamakan atas nama Luqman. Kita dapat lihat firman ALLAH swt didalam ayat 12, surah Luqman: "Dan sesungguhnya Kami telah memberi kepada Luqman, hikmat kebijaksanaan, (serta Kami perintahkan kepadanya): "Bersyukurlah kepada ALLAH (akan segala nikmat-Nya kepadamu)".
Apa yang dipersetujui ke atasnya ialah beliau dikurniakan ALLAH HIKMAH. Wasiat dan nasihat beliau direkodkan di dalam Al-Quran, dan majoriti ulama' mengatakan bahawa beliau adalah WALI dan bukannya NABI.

Walaubagaimanapun, dalil kuat sebagaimana yang dinyatakan oleh Al-Qurtubi apabila mentafsirkan Surah al-Luqman, bahawa sesungguhnya beliau merupakan seorang yang bijak dengan Hikmah ALLAH swt. Luqman al-Hakim juga dikatakan sebagai seorang yang sederhana dan berkulit hitam.

Justeru, Luqman al-Hakim sememangnya seseorang yang telah dikurniakan hikmah kebijaksanaan dan sesiapa yang dikurniakan hikmah kebijaksanaan pastinya dia telah dikurniakan  dengan pemberian yang paling bermakna dan berharga. Ini berdasarkan firman ALLAH S.W.T:

“ALLAH memberikan hikmat kebijaksanaan (ilmu yang berguna) kepada sesiapa yang dikehendakiNya (menurut aturan yang ditentukanNya). dan sesiapa yang diberikan hikmat itu maka sesungguhnya ia telah diberikan kebaikan yang banyak. dan tiadalah yang dapat mengambil pengajaran (dan peringatan) melainkan orang-orang yang menggunakan akal fikirannya.”                                                                       (Surah al-Baqarah (2) : 269)


Asas dalam Pendidikan Anak-Anak Menurut Luqman al-Hakim

Antara pesanan dan ajaran Luqman al-Hakim yang patut dijadikan sebagai panduan untuk pendidikan anak-anak oleh ibu bapa di dalam Suruh Luqman ayat 12 - 19 adalah sebagaimana berikut:

1.     Pendidikan supaya bersyukur
2.     Pendidikan supaya jangan mempersekutukan ALLAH
3.     Pendidikan supaya berbakti kepada orang tua
4.     Pendidikan tentang balasan dari hasil perbuatan yang baik dan 
        sebaliknya.
5.     Pendidikan tentang solat.
6.     Pendidikan tentang amar makruf nahi mungkar.
7.     Pendidikan supaya bersabar.
8.     Pendidikan supaya jangan sombong dan angkuh.
9.     Pendidikan kesederhanaan

Didiklah Anak Menurut Acuan ISLAM

Islam sebagai agama yang syumul dan holistik perlu menjadi panduan utama dalam setiap cita-cita, harapan, dan langkah yang diambil oleh setiap individu Muslim, terutamanya dalam mendidik anak-anak. Pendidikan anak-anak yang jauh daripada asas yang telah digariskan oleh Islam, hanya akan menyebabkan anak yang bakal dihasilkan dan dilahirkan adalah anak yang serba kekurangan, lemah dan jauh daripada rahmat ALLAH S.W.T dan syafaat Rasulullah S.A.W.

Bersama-sama kita mengejar kebahagiaan di dunia akhirat! (",)


Rujukan:

Al-Quran al-Karim
http://soaljawabquranhadis.blogspot.com/2008/12/siapakah-luqman-al-hakim.html
http://alhelmi.tripod.com/tip/terbaru/suami2.htm