Wednesday 17 October 2012

Sebuah perkongsian mengenai politik, jihad dan pilihanraya.




KENAPA POLITIK?
Politik pada hari ini sering dipandang negatif, kerana telah bercampur baur dengan segala yang baik dan buruk. Perkataan politik berasal daripada bahasa latin iaitu politicus dan dalam bahasa greek politikos yang bermaksud  rakyat. Politik juga bermaksud cerdik (kamus English-Indonesia) dan membawa maksud apa sahaja yang berkaitan dengan kekuasaan dan pemerintahan (Ensiklopedia Malaysiana). Politik dalam bahasa Arab diistilahkan sebagai ‘siasah’, daripada perkataan sasa –yasusu -siasah. Ianya bermaksud, pemerintahan, pimpinan, kebaikan dan mendidik (Mu’jam Arabi al-Asasi). Siasah atau politik telah wujud pada zaman Nabi S.A.W. malah pada zaman nabi-nabi Allah sebelumnya. Hadis Rasulullah S.A.W bersabda:
“Kaum bani Israel ‘tasusuhum’ (daripada perkataan sasa – siasah iaitu bermaksud ‘dipimpin’) oleh para nabi. Setiap kali meninggal seorang nabi, akan diganti oleh nabi yang lain dan sesungguhnya tiada nabi selepas aku tetapi akan ada khalifah (pemerintahan Islam) yang ramai.”  (H.R Imam Muslim, no 276)
Jihad merupakan salah satu daripada aktiviti yang akan terlibat apabila seseorang mengambil kisah mengenai kepimpinan ataupun siasah ataupun politik.

JIHAD?
Apa itu jihad? Jihad adalah usaha yang bersungguh-sungguh utk menegakkan kalimah Allah dan masyarakat Islam.  Peperangan adalah sebahagian daripadanya dan matlamat jihad adalah mendirikan masyarakat Islam yang tulen. (Sykh Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah)
Sebagaimana peperangan adalah salah satu drp cabang jihad, amar ma’ruf dan nahu munkar (menyuruh yang baik dan mencegah yang mungkar) juga merupakan salah satu daripadanya, termasuk juga dalam jalan jihad adalah nasihat-menasihati dan sebagainya. Agama Islam bukan hanya agama individual tetapi agama kelompok, masyarakat dan negara. Disebabkan itulah Nabi S.A.W keluar berjihad dan berhijrah untuk mendirikan negara Islam Madinah.
Mendirikan negara yang Islamnya mampu dilaksanakan merupakan satu arahan dan perintah wajib daripada Allah S.W.T kepada Nabi dan orang-orang Islam pada zaman tersebut dan hukum tersebut adalah berterusan sehingga hari kiamat apabila tiada penghapusan hukum yang diturunkan oleh Allah S.W.T selepas itu. Kewajipan berhukum dengan hujum Allah adalah wajib sepertimana sesiapa yang tidak berhukum dengan hukum Allah merupakan orang yang kafir, zalim ataupun fasik (lihat al-Qur’an: Surah al-Maidah ayat 44, 45 dan 47)
Islam dan sistemnya yang menyeluruh tidak dapat ditegakkan kecuali dengan adanya kuasa dan pemerintahan untuk berbuat sedemikian. Ini termasuk semua hukum qisas, ta’zir dan hudud yang diperintahkan Allah dalam al-Qur’an. Termasuk juga semua sistem muamalah Islam seperti transaksi jual-beli, perbankan, saham dan sebagainya. Jika umat Islam tidak berkuasa dan tidak terlibat dalam sistem yang membentuk sistem kehidupan masyarakat di sesebuah negara, maka semua hukum-hukum dan sistem-sistem Islam tidak dapat dilaksanakan. Aqidah umat Islam juga tidak dapat dijaga, sekiranya tiada undang-undang yang dapat mengekang penyebaran agama palsu dan ajaran-ajaran yang menyeleweng ke atas masyarakat Islam.
Justeru, kuasa dan pemerintahan merupakan satu cara dan jalan untuk menegakkkan agama ALLAH S.W.T di muka bumi, dan ianya wajib untuk diperolehi. Ini mengikut kaedah Fiqh Islam apabila sesuatu itu wajib, maka semua perkara yang boleh membantu menegakkan yang wajib itu menjadi wajib. Seperti seorang yang hendak solat, maka mengambil wudu’ itu menjadi wajib (yang sebenrnya asal hukum berwudu’ adalah sunat) apabila hendak mendirikan solat. Begitu juga semua sistem dan hukum Allah S.W.T perlu ditegakkan dan ianya adalah wajib, maka usaha-usaha untuk mendapatkan kuasa menjadi wajib kerana untuk menegakkan hukum Islam yang wajib tersebut.

JIHAD CABANG IMAN
Jihad merupakan salah satu cabang iman, dan merupakan kewajipan yang perlu ditunaikan kepada mereka yang mengaku beriman.
Allah S.W.T berfirman (al-Nisa’ ayat 95):
“Allah melebihkan orang yang berjuang dengan harta dan nyawa mereka daripada orang yang duduk sahaja (orang Muslim yang tidak pergi berperang) dengan beberapa darjat (keistimewaan). Dan kedua-duanya Allah menjanjikan janji yang baik.”
Rasulullah S.A.W bersabda: “Dasar semua perkara ialah Islam, tiangnya adalah solat dan kemuncaknya adalah jihad” (H.R Imam al-Tirmidzi)
Rasulullah S.A.W bersabda lagi “ Sesiapa yang keluar berjihad di jalan ALLAH sehingga debu-debu melekat di kakinya (bermaksud bersungguh-sungguh), Allah akan mengharamkan api neraka daripadanya”. (H.R Imam al-Bukhari).
Rasulullah S.A.W juga bersabda: “Sesiapa yang tidak berperang(berjihad) dan tidak pernah berniat untuk berperang maka dia mati dalam keadaan salah satu keadaan daripada kemunafiqan iman (berpura-pura dalam beriman).” (H.R Imam Muslim)


KENAPA PILIHANRAYA?
Jihad bukan hanya bermaksud mengangkat senjata dan berperang berlumuran darah, tetapi apa sahaja usaha untuk meninggikan kalimah Allah, membentuk masyarakat yang adil dan menegakkan hukum Islam di muka bumi, semuanya adalah jihad. Maka apa jua kaedah yang dikenal pasti boleh mencapainya maka ianya adalah wajib. (lihat Said Ramadhan al-Buti, Fiqh Sirah).
Nabi S.A.W bersabda: “ Sesungguhnya daripada sebaik-baik jihad ialah menyampaikan kalimah yang adil kepada pemerintah yang zalim”.  (H.R Imam al-Tirmidzi)
Hadis di atas menunjukkan menegur kesalahan pemimpin yang zalim dan tidak adil merupakan sebaik-baik jihad, apabila jihad perang tidak boleh dilaksanakan. Mekanisma untuk menegur pemimpin pada hari ini di Malaysia, seseorang mestilah terlibat dalam politik, yang membolehkannya mendapatkan kedudukan di salah satu kerusi samaada di Dewan Parlimen ataupun Dewan Rakyat, sehinggakan dia mempunyai ruang dan peluang untuk bersuara, menegur atau menasihati. Semua ini tidak akan diperolehi kecuali melalui sistem pilihanraya yang ada sekarang.
Nabi S.A.W bersabda lagi dalam hadis yang lain (H.R Imam Muslim):
“Sebaik-baik pemimpin kamu ialah mereka yang sayangkan kamu dan kamu sayangkan mereka, kamu berhubung dengan mereka dan mereka berhubung dengan kamu. Sejahat-jahat pemimpin adalah kamu menghina mereka dan mereka menghina kamu.” Kami bertanya kepada Rasulullah S.A.W “ Apakah kami patut membunuh mereka?” Jawab Rasulullah S.A.W : “Tidak, selagimana mereka mendirikan solat”.

Rujukan:
Al-Qur’an
Al-Sunnah
Buku “Jihad dalam politik dan persoalan negara Islam mengikut pandangan Said Hawa”, Penulis: Muhammad Pisol Mat Isa. 2001.