Monday, 2 May 2011

Apabila kita diuji, when we're tested, واذا نمتحن

Saya nak share satu artikel walaupun drp utusan, artikel ni pasal
seseorang yg pernah jatuh teruk dalam hidup dia, sampai hampir nak bunuh diri...


2 Mei 2011/ May 2nd, 2011

Islam beri Arif ketenangan

Oleh ZUARIDA MOHYIN
Gambar WAHIDAH ZAINAL

Pegawai dan kakitangan Perkim Kebangsaan dijamu nasi daun pisang selepas majlis bacaan doa selamat di restoran Muhammad Arif Yoges Abdullah di Rawang, baru-baru ini.


AKU tidak mahu menjadi seorang Muslim yang pengecut.” Itulah fikiran spontan yang telah menyelamatkan diri dan akidah lelaki yang berasal dari Taiping, Perak ini daripada cubaan membunuh diri, kira-kira enam tahun lalu.
Akui Muhammad Ariff Yoges Abdullah, 37, insiden itu berlaku tanpa diduga dan tidak pernah terlintas dalam fikirannya. Apatah lagi keputusan memeluk agama Islam bukan atas dasar paksaan ataupun ikutan.
Semuanya datang secara tiba-tiba sebaik dia terlihat tali skip yang tergantung di dinding dan kipas syiling.
“Pada masa itu, saya duduk bersendirian di rumah. Sedang saya duduk berdoa sambil menangis memikirkan nasib diri, tiba-tiba macam ada satu suara bisikan yang menyuruh saya membuat sesuatu yang paling ditentang Islam iaitu membunuh diri.
“Memang waktu itu saya dalam keadaan yang sangat tertekan dan fikiran berkecamuk. Ia berpunca kerana kegagalan teruk dalam perniagaan dan sedang melalui proses perceraian.
“Walaupun masa itu saya sudah Islam tetapi ilmu agama masih tipis. Jadi, bila diuji sebegitu hebat, rasanya seperti sudah tidak ada jalan keluar lagi untuk saya,” cerita Arif saat melalui detik paling kritikal dan mencabar dalam diari kehidupannya bergelar Muslim.
Pun begitu, kata Arif, dalam setiap kepahitan itu ada kemanisan, yang mana hanya Allah SWT mengetahui rahsianya. Niat untuk membunuh diri iru membuatkan dia tersedar dan semacam dapat satu kekuatan untuk berusaha membebaskan diri.
Pada masa sama juga, akui Arif , kata-kata bapanya kembali segar dalam ingatannya iaitu: “Hidup ini umpama permainan catur, jika kita bergerak dengan cara yang betul, maka kita akan berjaya.”
“Tiba-tiba saya seperti mendapat kekuatan dan langkah pertama yang saya lakukan ialah menghubungi majikan lama dan bertanyakan jika ada kekosongan jawatan di tempat kerja lama. Oleh kerana saya berhenti secara baik maka saya diterima semula tanpa bersyarat.
“Mulai dari saat itu saya mulakan hidup baru selepas jatuh teruk. Selama sebulan masjid menjadi rumah saya. Pada masa itu umat Islam sedang melaksanakan puasa Ramadan dan dari situlah saya mula mendekatkan diri kepada Allah.
“Saya mula melakukan solat sunat tarawih, tasbih, tahajud, qiamullail, membaca yasin dan al-Quran. Alhamdulillah, semakin kita hampir dengan Allah, semakin terasa ketenangan dan saya dapat rasakan hidup saya berubah dari sehari ke sehari.
“Dari sekadar bermotor buruk saya telah mampu membeli kereta dan telah mula berniaga semula hasil daripada pendapatan yang diperoleh setiap bulan. Itulah berkat rezeki daripada Allah,” kata Arif yang memeluk Islam pada 30 Ogos 2004 selepas bertahun membuat kajian dan perbandingan dengan agama anutannya sebelum ini.
Kini, bekas jurutera itu telah menumpukan masa mengusahakan Restoran Lucky Hill Steamboat & Barbecue Muslim Buffet dan Nasi Daun Pisang Muslim di Jalan Jenjarum 2B/3, Seksyen BB9, Bandar Bukit Beruntung, Rawang, Selangor sejak setahun lalu.
Siapa sangka, tanpa walaupun tiada pengalaman dalam perniagaan makanan, perniagaan restoran stimbot dan barbeku yang baru setahun jagung itu telah mendapat sambutan yang hangat sehingga dikunjungi pemimpin negeri dan tokoh-tokoh agama terkenal.
Arif amat bersyukur Nasi Daun Pisang yang baru sebulan lalu diperkenalkan juga sudah nampak sambutannya.
Ini terbukti sewaktu wawancara kami pada Ahad lalu, ada beberapa pelanggan yang datang bertanyakan nasi daun pisang apabila melihat kedainya dibuka.
Kata Arif, mengendalikan perniagaan penyediaan makanan bukanlah yang pertama.
Sebelum memeluk Islam lagi dia telah berjinak-jinak dengan pelbagai jenis perniagaan.
Sebelum membuka restoran, Arif pernah mengusahakan tadika Islam bersama bekas isteri. Tetapi ia tidak bertahan lama kerana sebab-sebab yang tidak dapat dielakkan.
“Itulah resam orang berniaga, saya terima dengan reda. Mungkin bukan rezeki saya di situ tetapi saya percaya rezeki Allah ada di mana-mana. Sebagai hamba-Nya kita kena berusaha, berdoa dan bertawakal. Insya-Allah.
“Mengapa saya memilih perniagaan ini? Salah satu sebabnya kerana saya lihat potensi besar perniagaan ini, walaupun orang kata berniaga makanan ini tinggi risikonya sebab kenaikan harga barangan mentah.
“Tetapi jika kita berniaga cara yang betul, bukan keuntungan semata-mata, tetapi pada masa yang sama meyakini bahawa sembilan daripada 10 rezeki itu menerusi perniagaan sebagaimana sabda Rasulullah SAW, rezeki Allah SWT itu ada,” kata Arif yang setia ditemani isteri, Suhaillah Abdullah, guru Bahasa Malaysia di Sekolah Menengah Kebangsaan Bukit Sentosa 2, Rawang, Selangor.

Pengajaran yang saya insaf dan dapat:
1) manusia boleh jatuh dan bangun, sekejap di atas dan sekejap di bawah dalam pusingan hidup dia...
2) manusia diuji utk melihat ketahanan dia sebagai hamba ALLAH
3) manusia diuji utk melihat apakah jalan yg bakal dia ambil sama ada kembali lebih dekat kpd ALLAH atau kecewa dengan hidup dan mengambil jalan yang dimurkai ALLAH
4) ALLAH sentiasa dekat dengan kita dan sentiasa ingin menolong kita sekiranya kita mahu memohon kepada ALLAH, dengan jalan dan cara yang betul
5) ALLAH tidak sesekali mensia-siakan hambaNya yang dia uji, ujian adalah tanda kasih sayang ALLAH
6) ALLAH menyediakan kepada hambanya jalan utk keluar dari sebarang masalah dengan sabar, solat dan memohon kepadanya..jadi bunuh diri, dadah, arak, mahupun merokok...bukanlah jalan ketenangan...sebaliknya ALLAH mengajarkan meminta tolong kpdNya dengan sabar dan solat sptmana dalam s.Al-Baqarah ayat 45 & 153.
7) ALLAH Maha Adil, Maha Pemurah, hambaNya yang gigih berusha, pasti ditolongNya jua...jika sebaliknya pasti ada hikmah kebaikan yang ALLAH nak beri pada hambaNya.
8) rezeki perniagaan sekiranya dilaksanakan dengan tekun dan sabar, kena cara dan jalannya, Insya ALLAH 9/10 kebaikan/keuntungan ada di sana.
9) ALLAH sentiasa nak memberkati hidup hambaNya selagimana hambaNya sentiasa x melupakanNya, walaupun sibuk macammana pun seseorang tu...solat adalah paling utama, kerana dia tau itulah matlamat ALLAH jadikan dia, dan solat di awal waktu serta solat berjemaah adalah amalan yang paling ALLAH dan Rasul ALLAH cintai utk seseorang hamba amalkan, sehingga apabila ALLAH cintai kpd seorang hamba, maka apa sahaja kebaikan, ALLAH akan beri pada hamba yang DIA cintai itu..berbahagialah hamba itu..

No comments:

Post a Comment