Tuesday 10 May 2011

AL-FATIHAH buat adik Muhammad Saifullah Qafis, tarbiah ALLAH buat diriku yang lalai..

Catatan kisah benar yang aku lalui, semoga ianya adalah tarbiah buat diriku yang lalai..

0600pm: 3 Mei, 2011:  
Menerima panggilan telefon drp abang Badrol, adik Qafis (sepupuku) ditahan di wad Hospital Kuala Nerang kerana disyaki demam denggi berdarah.

1000am: 4 Mei, 2011:
Menerima panggilan telefon drp mak saudaraku, adik Qafis sudah tidak sedarkan diri, akan di bawa ke Hospital Sg.Petani kerana Hospital Kuala Nerang (tiada kepakaran) dan Hospital Sultanah Bahiyah (penuh). Adik Qafis dikejarkan dengan ambulan

0100pm: 
Adik Qafis tiba di Hospital Sg.Petani, Kedah. Doktor-doktor, jururawat-jururawat, pembantu-pembantu perubatan meletakkan adik Qafis di Wad ICU (Zon Merah). Maknjang (mak adik Qafis), Paknjang, Aku, mak, ayah, sepupuku yang lain, menunggu di ruang menunggu waris, wad ICU.

0200pm:
Doktor-doktor, jururawat-jururawat serta pembantu-pembantu perubatan bertungkus lumus menukar darah adik Qafis yang telah dijangkiti virus denggi dengan darah yang baru hampir 5 beg, tambahan platlet darah beberapa beg kerana virus denggi menjatuhkan platlet darah adikku ketahap '0'. Darah adik Qafis sukar membeku tanpa platlet.

0230pm:
Adik Qafis terlantar lemah ditengah wad ICU, tangan, dada bersirat wayar, masih tidak sedarkan diri, koma, namun semua masih bertungkus lumus untuk menyelamatkan adik Qafis yg dalam keadaan sangat kritikal. Maknjang dan aku dibenarkan masuk dalam zon merah, aku bersandar tepi dinding adik Qafis dirawat, aku bacakan Yassin, Aku baca dengan tenang, penuh harap pada ALLAH agar menyelamatkan adik Qafis..Ya ALLAH selamatkan dia Ya ALLAH, Walaupun Engkaulah Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuknya Ya ALLAH, namun, ibu bapanya, aku, dan keluarganya mengharapkan dia masih mampu bernyawa ya ALLAH...moga-moga dia dapat menjadi penolong agamaMu ya ALLAH...

0240pm:
Doktor membisikkan pada maknjang, mereka akan terus berusaha, nadi adik Qafis secara tabi'e telah sudah berhenti, hanya tinggal denyutan yang dibantu mesin di dadanya. Rawatan kecemasan cara menekan dada dilakukan, belon udara dipam melalui rongga mulut adik Qafis, tekanan dilakukan hampir 10 minit oleh pembantu perubatan pertama, seorang wanita cina, tiada respon. Tekanan dilakukan lagi oleh pembantu perubatan kedua, seorang lelaki muslim, darah adik Qafis mula kelur melalui mulut dan hidung, darah yang ditambah tidak mampu lagi diterima oleh sistem badannya. Darah mencurah keluar apabila pembantu perubatan membuat tekanan dada pada adik Qafis, darah tumpah mencurah-curah di atas lantai tepi katil adik Qafis...aku lihat adik Qafis, ya ALLAH tak bermayanya dia ya ALLAH...ampunkan dia Ya ALLAH..
bacaan Yassin aku teruskan, yang kedua kali, yang ketiga kali..Setiap kali aku membaca Yassin pada ayat-ayat tertentu terutamanya pada (Salamun Qaulan Min Rabbi Rahim) 'Ucapan Salam sejahtera daripada Tuhan Yang Maha Penyayang', aku rasakan seperti ALLAH benar-benar nak meyambut adik Qafis...Ya ALLAH, selamatkan adik Qafis ya ALLAH, jika amalan-amalan kami yang sedikit dan murah ini boleh memanjangkan umur adik Qafis, Kau ambillah Ya ALLAH sebagai gantinya, panjangkan umur adik Qafis ya ALLAH...tapi apapun keputusanMU, Kaulah Yang Lebih Mengetahui..

0310pm:
Doktor perempuan muslim berjumpa maknjang, "kak, kita dah cuba selama 20minit, tiada respon, kak nak teruskan lagi ka atau kita nak hentikan proses ini?".."ikutlah apa yang doktor fikirkan terbaik, jika berhenti itu lebih baik bagi Qafis, akak redha..akak redha.."

0313pm:
Rawatan bantuan pernafasan dihentikan. Adik Qafis telah kembali ke Rahmatullah. Aku insaf, memng betul kita (manusia) sebenarnya adalah ruh sahaja...jika tiada ruh, maka tiadalah apa-apa lagi ertinya jasad pada diri..Semoga ruh adik Qafis tenang menuju Ilahi...amin Ya ALLAH..Pihak pengurusan jenazah hospital membersihkan adik Qafis, mengkafankan secara biasa sementara menunggu ambulan membawa jenazah pulang ke Pokok Sena, rumah maknjang.

0630pm:
Aku, mak, abang dan kak ipar tiba di rumah maknjang, sementara maknjang dan paknjang telah sedia sampai dengan jenazah adik Qafis. Jenazah Adik Qafis diletak diatas katil kecil, di satu ruang rumahnya..selepas magrib, isya,' semakin ramai tetamu, rakan taulan, jiran dan kenalan yang datang memberi penghormatan terakhir, menziarahi dan mendoakan jenazah adik Qafis..."Allahummaghfirlahu, warhamhu, wa'afihi, wa'fuanhu.."Bacaan Quran diteruskan sehingga khatam, Yassin, dan tangisan silih berganti...hati sebak, pilu dan tiada perkataan yang mampu aku ucapkan melihat paknjang, maknjang serta kakak-kakak dan abang adik Qafis menyambut adik Qafis dengan berita kematiannya. Mereka pulang dari segenap rantau, menyambut dan meredhai ketentuan ALLAH..kami pasrah dan menyerah ya ALLAH..inna lillahi wa inna ilaihi rajiuun..aku lihat kembali wajah jenazah, tenang..

0700am, 5 Mei, 2011
Semua kelengkapan dan persiapan utuk menguruskan jenazah adik Qafis dilakukan, kain utuk mengkafankan jenazah, upah mengorek liang lahad, panggilan untuk solat jenazah, alatan dan air wangian untuk memandikan jenazah, semua disediakan..Bacaan Quran diteruskan, adik Qafis siap dimandikan dan dikafankan, aku lihat wajahnya sekali lagi memang cepat benar berubah dari semalam..namun, tetap jelas aku lihat wajanhnya..memang tenang..semoga kau tenang di sana adikku..

1100am:
Jenazah adik Qafis dibawa ke masjid berdekatan, aku hanya tunggu di rumah maknjang..abang pergi solatkan jenazah bersama para jamaah muslimin yang lain...abang cerita apabila pulang, memang ramai yang sembahnyangkan adik Qafis, hampir penuh masjid tersebut, ditambah lagi dengan pelajar-pelajar daripada sekolah tahfiz di situ yang datang dengan usaha sendiri, Imam kata, 'memang rezeki dia, ramai sungguh yang datang solat, malah aku diberitahu abang, solat dilakukan dua kali, kerana ada lagi jemaah yang terlewat yang masih nak solatkan adik Qafis...alhamduli ALLAH ya ALLAH...Kau Maha Besar..sepertimana ilmu dangkal yang aku ada, di antara husnu khatimah itu adalah, ramainya kaum muslimin yang beriman datang menyembahyangkan jenazah, mudah-mudahan Ya ALLAH Adik Qafis diantara orang yang terpilih itu.. Kaulah Yang Lebih Mengetahui...

1200pm:
Jenazah Adik Muhammad Saifullah Qafis, yang baru berumur 20 tahun hidup dimuka bumi itu telah selamat dikebumikan..semoga ruhmu dirahmati dan dinaungi RAHMAT ALLAH adik...aku dan kami semua pasti akan datang menyusulmu..krn memeng itu janji ALLAH kepada semua makhlukNya yang bernyawa...cumanya risau kami adik..takut tak sesempurna dan sebaik yang kau lalui...Ya ALLAH bantulah kami untuk mati menemuiMU dalam keadaan kami muslim, dalam keadaan bersangka baik, redha, harap dan rindu untuk menemuiMu..di dalam husnu khatimah...amin Ya Rabbal 'Alamin.

No comments:

Post a Comment