Tuesday, 14 June 2011

Terjemahan Burdah Busairi dalam Bahasa Melayu - siri 3

Sumber: http://mysdear.blogspot.com/2010/10/syair-syair-indah-2.html (jazakum Allah khair kathir)




Bab 3:Puisi Puji - pujian kepada Sayyiduna Rasulullah saw

Aku telah menzalimi Sunnah Nabi saw yang telah menghidupkan kegelapan malam dengan ibadah sehingga kedua belah kakinya mengadu kesakitan kerana bengkak.

Baginda saw mengikat perutnya jika terasa sangat lapar dan Baginda saw mengganjal perutnya yang berkulit halus itu dengan batu ( bagi mengurangkan tajamnya lapar)

Gunung -ganang yang tinggi telah merayu menawarkan diri untuk menjadi emas, tetap Baginda saw enggan menerima tawaran itu seenggan-enggannya.

Kehidupan yang terlatih dengan penderitaan telah memperkuatkan kezuhudannya.Sesungguhnya keperluan yang mendesak masih belum dapat mempengaruhi pendirian jiwa-jiwa yang terpilih.

Bagaimanakah dunia dapat mempengaruhi Baginda saw, sedangkan kalau bukan kerana Baginda saw maka Dunia tidak akan dicipta dan dijadikan oleh Allah swt.

Nabi Muhammmad saw itu adalah penghulu dua alam (dunia dan akhirat), penghulu jin dan manusia dan pemimpin bangsa arab dan bangsa Ajam (selain Arab).


Nabi kami yang menyuruh dengan kebaikan dan melarang dari kemungkaran.Maka tiada siapa seorang juapun yang lebih baik perkataanya daripada Baginda saw, sama mengatakan 'ya' ataupun 'tidak'.


Baginda saw adalah kekasih tercinta yang sangat diharapkan syafaatnya untuk menyelamatkan kita dari segala rasa kebimbangan yang menyelubungi hati.


Baginda saw mengajak umat ke jalan Allah swt, Maka sesiapa yang berpegang teguh dengan ajaranya, beerti ia telah berpegang teguh dengan tali yang kuat yang tidak akan terputus.


Baginda (saw) melebihi segala para nabi (as), baik pada ciptaan badannya mahupun budi pekertinya.Dan mereka tidak dapat mendekati nya, baik pada ilmunya mahupun pada kemurahannya.


Para anbiya semuanya mengambil dari ilmu Baginda(saw), sama ada satu cebuk dari lautan ilmunya atau satu teguk dari ilmunya yang melimpah-limpah seakan hujan lebat.


Mereka semua berada di batas-batas yang telah ditentukan, sama ada pada 'titik' suatu ilmu ataupun hanya pada baris suatu hikmah.


Bagindalah Nabi saw yang sempurna jiwa dan raganya kemudian dipilih oleh Allah swt, Tuhan pencipta makhluk sebagai kekasihNya


Segala keindahannya tiada tercabar, maka keindahan permata yang ada padanya tak pernah dibahagikan kepada orang lain.


Tinggalkan cara orang-orang Nasrani (Kristian) dalam menyanjung Nabi mereka (Isa a.s)(Maksudnya , jangan katakan Muhammad saw itu mempunyai sifat ketuhanan).Selepas itu terserahlah kepadamu untuk memuji Baginda saw dengan sesuka hati.


Pujilah apa sahaja kemuliaan yang ada padanya sesuka hatimu.Dan pujilah apa sahaja keagungan yang layak untuk kedudukkannya sekehendakmu.


Kerana sesungguhnya keagungan Rasulullah saw itu tiada had baginya, sehinggakan lidah dapat mengungkapkan segala keistimewaannya dengan bahasa indah.


Jikalau bersesuaian tanda-tanda kenabian saw dengan kehebatan martabatnya yang sebenar, sudah tentu hanya dengan menyebut namanya, tulang belulang sudah reput akan dapat dihidupkan semula.


Baginda saw tidak menguji kita dengan syariat yang tidak dapat difikiri oleh akal kerana Baginda saw sangat mengharapkan keimanan kita.Oleh itu kita tidak jadi ragu dan cemas.


Namun demikian,makhluk adalah tidak mampu memahami hakikat Baginda saw yang sebenar.Baik yang dekat ataupun yang jauh, tiada seorang juapun yang mampu memahaminya.


Bagaikan matahari, nampak dari jauh seakan-akan benda kecil, tetapi sinarnya telah dapat menumpulkan ketajaman pendangan orang yang melihatnya.


Bagaimana dapat diketahui hakikat Baginda saw oleh kaum yang banyak tidur, hanyut dalam impian dan merasa cukup kalau sudah dapat bertemu dengan Rasulullah saw melalui mimpinya sahaja.


Kemuncak pengetahuan mereka tentang dirinya mereka hanya mampu mengatakan bahawa Baginda saw itu seorang manusia yang merupakan sebaik-baik makhluk Allah swt keseluruhannya.


Segala mukjizat yang dibawa oleh para Rasul yang mulia itu adalah sebahagian dari rangkaian "Nur" Baginda saw yang agung.


Bagindalah matahari keutamaan dan para Rasul itu laksana bintang-bintang yang hanya dapat menampakkan cahayanya di saat ketiadaan cahaya matahari.


Alangkah mulianya diri Nabi saw yang dihiasi akhlak terpuji.Indah pekertinya dan indah ciptaan badannya.Senyuman manis selalu tidak lekang daripada bibirnya.


Lembutnya bagaikan bunga, kemuliaannya bagaikan bulan purnama, kemurahannya bagaikan lautan dan cita-citanya sepanjang masa.


Seolah-olah Baginda sahaja yang paling utama dalam kemuliaanya, maka seakan-akan Baginda saw dikerumuni oleh sepasukan tentera dan para pembantu yang banyak.


Apabila Baginda saw bercakap maka percakapannya itu keluar dari mulutnya sambil diiringi senyumannya yang manis itu.Maka indanya gabungan percakapan dan senyuman itu laksana mutiara indah yang kelihatan diapit oleh kulit kerangnnya.


Tidak ada minyak wangi seharum tanah yang mengelilingi jasad Baginda saw di dalam kubur.Maka berbahagialah sesiapa yang dapat menciumnya dan menyapukannya ke muka.

2 comments:

  1. Assalamualaikum Ummu Busyra,

    saya izinkan untuk terjemahan qasidah burdah ni.Ada lagi beberapa bab belum sempat saya upload di blog.tq

    ReplyDelete